Politik dan kerajaan Brunei

Ke bawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah
Rencana utama: Politik di Brunei

Brunei merupakan sebuah negara yang menjalankan sistem pemerintahan monarki mutlak dan mengamalkan sistem undang-undang Inggeris walaupun undang-undang syariah Islam menggantikan undang-undang itu dalam beberapa perkara dan kes.[perlu rujukan] Sistem politik di Brunei ditetapkan oleh perlembagaan dan berdasarkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB). Tiga komponen MIB adalah kebudayaan Melayu, agama Islam dan sistem politik dibawah pemerintahan beraja."[7]

Sultan Hassanal Bolkiah yang gelarannya diturunkan dalam wangsa yang sama sejak abad ke-15 ialah ketua negara serta ketua kerajaan Brunei pada masa kini. Baginda dinasihati oleh beberapa majlis dan sebuah kabinet menteri, walaupun baginda secara berkesan merupakan pemerintah tertinggi. Pada September 2004, Sultan Brunei mengadakan persidangan Parlimen yang tidak pernah bersidang sejak kemerdekaan pada tahun 1984. Parlimen ini tidak mempunyai kuasa selain daripada menasihati sultan disebabkan oleh pemerintahan mutlak oleh Sultan. Brunei ialah salah satu daripada negara yang paling stabil dari segi politik di Asia.

Brunei seperti sesetengah negara yang lain juga menuntut beberapa kawasan tuntutan seperti wilayah di Sarawak iaitu Limbang dan kawasan Kepulauan Spratly yang dipertikaikan. Banyak pulau kecil yang terletak di antara Brunei dan Labuan termasuk Pulau Kuraman telah dipertikaikan oleh negara Brunei dan Malaysia. Walau bagaimanapun, pulau-pulau ini diakui sebagai sebahagian daripada Malaysia di peringkat antarabangsa.